AES MALAYSIA

AES MALAYSIA

AES CAMERA MALAYSIA

JUMLAH AES DI MALAYSIA

Sudah letih mengadu

GOMBAK: Bukan hanya berdepan masalah bunyi bising dan persekitaran berdebu setiap hari, penduduk di Taman Sri Gombak Fasa 8, Batu Caves, di sini juga hanya mampu memandang sepi ratusan lori yang penuh muatan sampah binaan menggunakan laluan di taman itu untuk ke tapak pelupusan sampah berhampiran.
Penduduk mendakwa tapak pelupusan haram yang beroperasi hampir 10 tahun lalu itu pernah beberapa kali diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan menghentikan operasinya beberapa hari, namun kembali beroperasi selepas itu.

Dakwa penduduk, mereka sudah letih membuat aduan kepada MPS kerana tiada perubahan berlaku dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dikatakan tidak serius menangani masalah dikemukakan.
Tinjauan Metroplus selama satu jam di kawasan itu mendapati puluhan lori yang dipandu laju menggunakan laluan taman itu untuk ke tapak pelupusan berkenaan. Malah, sekatan jalan yang dibuat pihak berkuasa berhampiran pintu masuk tapak itu juga seolah-olah tidak ditakuti pemandu biarpun beberapa kenderaan disaman kerana melanggar undang-undang.

Tinjauan juga mendapati pintu masuk ke tapak pelupusan itu tidak sampai 100 meter dari rumah penduduk juga dijaga rapi pekerja bagi memastikan ia tidak dimasuki pihak luar. Beberapa rumah kongsi didirikan dan didakwa penduduk ia dijadikan rumah penginapan untuk pekerja warga asing yang bekerja di tapak pelupusan itu.

Penduduk, V Vijay, 39, berkata, biarpun pemilik mengatakan sampah yang dibuang terdiri daripada sampah binaan, namun tapak pelupusan itu tetap mengundang kehadiran lalat di kawasan perumahan itu.
“Jika ia hanya sampah binaan mengapa kami menghidu bau busuk khususnya selepas hujan dan terpaksa berdepan kehadiran lalat? “Laluan masuk ke tapak ini berdepan dengan kediaman saya, ia sangat mengganggu kerana bunyi bising lori yang keluar masuk bermula seawal jam 7.45 pagi hingga 7 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum,” katanya.

Menurutnya, sikap pemandu lori sampah yang yang sering memandu laju di kawasan perumahan itu mengundang rasa bimbang di kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka apatah lagi ada dua sekolah tadika dan sebuah sekolah agama tidak sampai 500 meter dari tapak berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat Gombak Setia Fasa 3, Kong Tuck Wah berkata, pihaknya turut membuat aduan kepada MPS membabitkan isu sama berikutan rungutan penduduk mereka menghidu udara tercemar sehingga ada yang menghadapi masalah pernafasan.

“Namun, tiada tindakan diambil kerana MPS mendakwa mereka tidak mempunyai kuasa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan