AES MALAYSIA

AES MALAYSIA

AES CAMERA MALAYSIA

JUMLAH AES DI MALAYSIA

Aksi sumbang dekat masjid


MASJID TANAH: Memalukan apabila ada pasangan bercinta menjadikan kawasan pantai Tanjung Bidara, di sini, sebagai ‘port’ untuk melakukan aksi ‘ringan-ringan’.
Tambah menjengkelkan apabila terdapat pasangan melakukan aksi sumbang itu secara terang-terangan berdekatan masjid pada hari Jumaat ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Perbuatan itu bukan saja menyakitkan mata, malah menjatuhkan imej pantai yang menjadi tumpuan termasuk pengunjung dari luar negeri ini.
Tinjauan Metroplus tengah hari Jumaat lalu mendapati terdapat beberapa pasangan asyik memadu asmara tanpa mempedulikan orang ramai yang pergi dan balik menunaikan solat Jumaat.

Peniaga, Abd Ghani Kedel, 60, berkata dia sering melihat pasangan melakukan aksi memalukan itu tanpa berselindung.
“Mereka bercumbuan serta berpelukan tanpa malu dan bersalah apabila perbuatan itu dilakukan di khalayak ramai
Malah ada pasangan yang asyik memadu kasih tidak menyedari perbuatan mereka ditonton segelintir ‘kaki skodeng’ atau pengintai di situ,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kaki skodeng di pantai berkenaan datang awal dan bersembunyi di dalam semak semata-mata untuk melihat aksi sumbang dan mengghairahkan pasangan terbabit

“Ini sikap remaja sekarang, tidak kira di mana saja termasuk dalam semak melepaskan rindu. Kalau tengah syok memadu kasih, tiba-tiba kena patuk ular baru tahu.
“Saya kesal dengan situasi ini dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak ia terus berlarutan dan menjatuhkan imej pantai ini,” katanya.
Sementara itu, imam Masjid Tanjung Bidara, Abu Khir Jamaluddin, berkata ibu bapa perlu berperanan bagi mengelak anak mereka daripada terjebak masalah sosial.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Pegawai Syarak negeri berkata, ibu bapa tidak boleh dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini kerana sikap remaja boleh berubah serta terpengaruh dengan rakan ketika di luar rumah.

“Namun, lebih kesalkan ada segelintir pasangan terbabit tidak mengira waktu untuk memadu kasih sama ada ketika solat Jumaat atau Maghrib.
“Justeru saya nasihatkan mereka menghormati perasaan orang lain dan bertaubat serta menghindari melakukan perkara maksiat,” katanya.



RM108 bilion lesap setiap tahun

 - Dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara.
Kerugian itu dikesan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, angka kerugian itu dianggarkan akibat aktiviti pemindahan wang secara haram melalui beberapa cara termasuk taksiran kurang, transaksi tanpa rekod serta penyeludupan wang.
"Akibat tindakan 'tangan-tangan kotor' ini, negara mengalami kerugian apabila hasil pendapatan lesap manakala wang rasuah yang diperolehi mereka dipindahkan secara haram ke luar negara.
"Berikutan itu, SPRM mengadakan 'Operasi 3b' iaitu sasaran kita mengembalikan semula RM3 bilion hasil pendapatan negara yang lesap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mustafar berkata, hasil operasi itu, sebanyak 62 orang pegawai JKDM telah ditahan dan sejumlah RM602 juta wang dibekukan, selain RM382 juta disita manakala RM31.2 juta dilucut hak harta.
"Kita siasat semua kes dan tangkapan ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas 2001 dan kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah melibatkan wang berjumlah RM1.2 bilion," katanya.

SEPATUTNYA DUIT TU D GUNA UNTUK RAKYAT...TAPI DIAORANG DAH SAPU UNTUK KRONI2 DEPA,TAK GUNA PUNYER ORANG...BIKIN SUSAH AJE.....

SPRM tahan 62 pegawai kastam

MUSTAFAR... usaha dapat semula wang kerajaan
MUSTAFAR... usaha dapat semula wang kerajaan
PUTRAJAYA: Seramai 62 pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak operasi besar- besaran bersepadu dikenali Ops 3b di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 53 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.
“Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan kita mengesan tujuh transaksi dijalankan.

“Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mustafar berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250, selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.

Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.

“Kita masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgi, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih dalam siasatan,” katanya.
Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.

Beliau berkata, fokus utama pelaksanaan operasi itu bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan serta membersihkan amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Ia berikutan ada maklumat menyatakan pegawai kastam di pelabuhan seluruh negara meminta dan menerima rasuah daripada ejen penghantaran untuk mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan proses Borang K1.

Operasi dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Pulau Pinang; Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

“Usaha kita adalah mendapatkan kembali pendapatan kerajaan yang boleh diberikan semula kepada masyarakat. Kerajaan kehilangan berbilion ringgit disebabkan amalan ‘tangan kotor’ yang dilakukan pihak tertentu,” katanya.



Murid dipukul guru meninggal

ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul seorang guru di asrama sebuah sekolah agama rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu.

Mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang tadi.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya berkata suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.

Pelajar dipukul hampir dua jam

 

PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.
Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.

Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu. 
Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.