AES MALAYSIA

AES MALAYSIA

AES CAMERA MALAYSIA

JUMLAH AES DI MALAYSIA

'Cair' dek kasanova

KUALA LUMPUR: Berbekalkan wajah tampan dan kepetahan berkata-kata, seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dan lima anak licik memperdaya lapan wanita untuk melabur dalam syarikatnya dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat.
Selepas mengikis wang wanita yang dipikatnya, kasanova berusia 45 tahun terbabit menghilangkan diri menyebabkan mangsa kerugian besar apabila tidak mendapat pulangan lumayan yang dijanjikan.
Bagaimanapun, kelicikannya berakhir apabila ditahan di rumahnya di Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 7 Januari lalu, berikutan laporan polis mangsa terbarunya, seorang doktor wanita yang menyerahkan kepadanya wang pelaburan RM300,000.

Menurut sumber, dalam serbuan ke rumah kasanova kira-kira jam 10 malam itu, polis turut menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah, tetapi tidak menemui wang tunai di rumah atau dalam akaun banknya.
Katanya, doktor wanita berusia 27 tahun, mangsa terbaru lelaki terbabit dipercayai ditipu selepas berkenalan November tahun lalu sebelum jatuh cinta.

“Doktor itu bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua tahun lalu dan mereka dipercayai berkenalan ketika kasanova terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selama dua minggu.

“Dalam perkenalan singkat itu, kasanova terbabit menawarkan skim pelaburan menarik kepada doktor berkenaan dengan jaminan pulangan wang tunai berlipat kali ganda. Atas dasar cinta dan percaya, mangsa menyerahkan RM300,000 kepada lelaki itu,” katanya.
Sumber itu berkata, tembelang kasanova terbabit terbongkar selepas dia gagal membayar wang pelaburan yang dijanjikan menyebabkan mangsa mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis menahan kasanova terbabit di rumahnya di Kampung Melayu Subang dan siasatan lanjut mendapati dia disyaki turut terbabit tujuh lagi kes penipuan serta dikehendaki polis Kuala Lumpur dan Selangor.
“Lelaki itu mempunyai dua isteri dan lima anak. Bagaimanapun, dia kini tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sumber berkata, kasanova itu dipercayai memperdaya ramai wanita lain sebelum ini, tetapi mangsa tidak membuat laporan hingga menyukarkan polis membuat siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL), Asisten Superintendan, Suffian Sulaiman mengesahkan penahanan kasanova terbabit hasil kerjasama polis Kuala Lumpur dengan polis Selangor.

“Suspek direman enam hari hingga bermula 8 Januari lalu bagi membantu siasatan. Dia dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit beberapa kes jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Ini termasuk memperdaya seorang doktor wanita yang bertugas di HKL membabitkan kerugian RM300, 000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan