AES MALAYSIA

AES MALAYSIA

AES CAMERA MALAYSIA

JUMLAH AES DI MALAYSIA

Kecoh mahu terjun

CEMAS...kombinasi gambar menunjukkan saat-saat genting pelajar cuba terjun, semalam.
CEMAS...kombinasi gambar menunjukkan saat-saat genting pelajar cuba terjun, semalam.
TEMERLOH: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, dekat sini, yang dipercayai diserang histeria bertindak luar dugaan apabila berdiri di koridor bangunan sekolah itu sebelum cuba untuk terjun, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan hampir 1,000 pelajar sekolah itu terpaksa berhenti memberi tumpuan dalam kelas selepas melihat aksi menakutkan pelajar terbabit yang turut berlari atas koridor sambil mendepakan tangan seperti mahu terjun. 
Lebih mencemaskan, pelajar terbabit yang dikatakan tiba-tiba menjerit kelihatan seperti hilang akal turut mencabut sekeping cermin tingkap kelas sebelum membaling ke bawah hingga menyebabkan tangannya cedera.

Rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali, berkata dia yang melihat kejadian itu tergamam apabila rakannya itu menjilat darah yang mengalir di tangannya akibat tercedera ketika membaling cermin berkenaan.
“Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak agresif dengan membuka tudung lalu melemparkan ke bawah sambil kedua-dua kaki memijak lantai koridor seperti mahu terjun.
“Kejadian terlalu pantas menyebabkan sesi pembelajaran terganggu, malah saya sendiri tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian,” katanya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menjauhkan diri kerana bimbang turut diserang histeria selain berdoa semoga terselamat daripada serangan histeria itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bergegas ke tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan pelajar terbabit.
Menurutnya, pengurusan SMK Abu Bakar turut bertindak meletak beberapa keping tilam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa sama, beberapa ahli keluarga mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan cuba memujuk mangsa, namun gagal sebelum pelajar terbabit diselamatkan pasukan penyelamat.
Beliau berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hohah) untuk menerima rawatan.
Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Nadzri Ab Wahab, berkata pada masa sama, beberapa pelajar lain turut terkena histeria, tetapi keadaan terkawal dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana pantas mengambil tindakan.

Rumah usang tempat si yatim

UZUR... Rumah anak-Anak Yatim Hawa Kinta perlu bantuan.
UZUR... Rumah anak-Anak Yatim Hawa Kinta perlu bantuan.
IPOH: “Saya dan adik gembira di sini sejak 11 tahun lalu biarpun kemudahannya daif dan  asrama tempat tinggal kurang selesa. Malah, hubungan semua penghuni di sini sangat rapat dan saya anggap kami seperti sebuah keluarga besar.“Jika ada yang mengalami kesusahan, semua penghuni lain membantu sedaya upaya. Semua aktiviti seperti memasak dan membasuh pakaian juga dilakukan secara gotong-royong,” kata Nor Suhaila Mohd Sharif, 17, seorang daripada 23 penghuni
 Rumah Anak-Anak Yatim Hawa Kinta, dekat sini.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, sebuah rumah papan lama yang usang dijadikan
 tempat tinggal penghuni yang berusia tujuh hingga 19 tahun dan lebih menyedihkan, kontena yang diubahsuai dijadikan pejabat, pusat sumber serta surau di rumah anak yatim terletak dalam kawasan seluas kira-kira 0.2 hektar.Namun segala kekurangan itu tampak tidak menjejaskan moral penghuni yang kelihatan 
ceria kerana bagi mereka, memiliki penjaga yang sudi memelihara mereka dengan ikhlas 
seperti anak sendiri tanpa mengharapkan balasan serta rakan yang dianggap adik beradik, 
lebih daripada memadai.

Nor Suhaila, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Main Convent, di sini, 

berkata perasaan sedih tetap dirasai setiap kali dia dan adiknya berusia 15 tahun 
mengenangkan 
nasib diri dan keluarga kandung, terutama ibu yang hidup susah sejak kematian bapa mereka.

“Saya tahu ibu mengambil keputusan paling sukar dalam hidupnya ketika menghantar saya 

dan adik ke rumah ini ketika kami berusia enam dan empat tahun kerana kedaifan hidup.
“Justeru, kami bersyukur dan anggap diri bernasib baik dapat tinggal di sini kerana ada rakan 
senasib lain yang terpaksa menjalani kehidupan penuh ranjau disebabkan tiada tempat tinggal dan menumpang kasih,” katanya.

Beliau berkata, dia berhasrat mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapi tahun ini dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi demi membela nasib diri dan adik.

Apapun, surat diterima daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kira-kira tiga bulan lalu membawa khabar gembira buat 23 penghuni rumah berkenaan apabila PKNP berhasrat menyediakan tanah untuk pembinaan asrama baru.
Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Hawa Kinta, Abdul Wahadi Abdul Wahab berkata, hasrat PKNP menyediakan tanah untuk pembinaan asrama baru itu memberi sinar kebahagiaan baru buat
 penghuni rumah terbabit.

“Kami menyambut baik hasrat PKNP biarpun tiada hitam putih mengenai perkara itu kerana segala-galanya masih di peringkat awal perbincangan.
“Harapan kami bahawa segala-galanya berjalan

 lancar dan setelah ada hitam putih baru kami akan melaksanakan tabung dana untuk membiayai 
kos pembinaan asrama itu yang terletak bersebelahan asrama sedia ada,” katanya kepada Metro Ahad ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Wahadi berkata, kos pembiayaan rumah anak yatim itu bergantung kepada pemberian derma individu mahupun badan korporat lain yang sudi menghulurkan bantuan kewangan, termasuk agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban.

Beliau berkata, jika dipersetujui semua pihak terbabit, beliau berharap pembinaan asrama 
baru dimulakan tahun ini juga untuk memberi keselesaan kepada penghuninya dan tidak perlu menjalankan aktiviti di dalam kontena yang jelas tidak selesa.

Sudah letih mengadu

GOMBAK: Bukan hanya berdepan masalah bunyi bising dan persekitaran berdebu setiap hari, penduduk di Taman Sri Gombak Fasa 8, Batu Caves, di sini juga hanya mampu memandang sepi ratusan lori yang penuh muatan sampah binaan menggunakan laluan di taman itu untuk ke tapak pelupusan sampah berhampiran.
Penduduk mendakwa tapak pelupusan haram yang beroperasi hampir 10 tahun lalu itu pernah beberapa kali diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan menghentikan operasinya beberapa hari, namun kembali beroperasi selepas itu.

Dakwa penduduk, mereka sudah letih membuat aduan kepada MPS kerana tiada perubahan berlaku dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dikatakan tidak serius menangani masalah dikemukakan.
Tinjauan Metroplus selama satu jam di kawasan itu mendapati puluhan lori yang dipandu laju menggunakan laluan taman itu untuk ke tapak pelupusan berkenaan. Malah, sekatan jalan yang dibuat pihak berkuasa berhampiran pintu masuk tapak itu juga seolah-olah tidak ditakuti pemandu biarpun beberapa kenderaan disaman kerana melanggar undang-undang.

Tinjauan juga mendapati pintu masuk ke tapak pelupusan itu tidak sampai 100 meter dari rumah penduduk juga dijaga rapi pekerja bagi memastikan ia tidak dimasuki pihak luar. Beberapa rumah kongsi didirikan dan didakwa penduduk ia dijadikan rumah penginapan untuk pekerja warga asing yang bekerja di tapak pelupusan itu.

Penduduk, V Vijay, 39, berkata, biarpun pemilik mengatakan sampah yang dibuang terdiri daripada sampah binaan, namun tapak pelupusan itu tetap mengundang kehadiran lalat di kawasan perumahan itu.
“Jika ia hanya sampah binaan mengapa kami menghidu bau busuk khususnya selepas hujan dan terpaksa berdepan kehadiran lalat? “Laluan masuk ke tapak ini berdepan dengan kediaman saya, ia sangat mengganggu kerana bunyi bising lori yang keluar masuk bermula seawal jam 7.45 pagi hingga 7 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum,” katanya.

Menurutnya, sikap pemandu lori sampah yang yang sering memandu laju di kawasan perumahan itu mengundang rasa bimbang di kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka apatah lagi ada dua sekolah tadika dan sebuah sekolah agama tidak sampai 500 meter dari tapak berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat Gombak Setia Fasa 3, Kong Tuck Wah berkata, pihaknya turut membuat aduan kepada MPS membabitkan isu sama berikutan rungutan penduduk mereka menghidu udara tercemar sehingga ada yang menghadapi masalah pernafasan.

“Namun, tiada tindakan diambil kerana MPS mendakwa mereka tidak mempunyai kuasa,” katanya.

Serik terpaksa berlapar

JOHOR BAHRU: Tiada hadiah yang lebih bermakna bagi empat keluarga berketurunan Cina di Skudai, di sini, sempena Tahun Baru Cina apabila anak lelaki masing-masing berusia 13 tahun yang sepakat menghilangkan diri untuk mencari kerja empat hari lalu, pulang ke rumah awal pagi semalam.
Kepulangan kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damai Jaya, Skudai itu mampu mengatasi kebimbangan dialami empat keluarga berkenaan yang bukan saja menjalankan pelbagai usaha bagi mengesan mereka di sekitar bandar raya, malah turut melaporkan perkara itu di Balai Polis Nusajaya di sini, Khamis lalu.

Seorang ibu pelajar, Ngau Ee Hong, 44, berkata tindakan terburu-buru anak bongsunya, Goh Kang Boon, 14, mencari kerja di usia muda gara-gara terpengaruh dengan rakan menjadi pengajaran apabila mendakwa terpaksa berkurung di sebuah rumah hampir dua hari.
Malah, katanya, lapan remaja lain termasuk empat rakan sekolah, juga mengalami nasib sama hingga hanya memakan makanan ringan sepanjang hari untuk mengalas perut.

Menurutnya, kumpulan remaja itu khuatir kehadiran mereka dikesan orang ramai mahupun pihak berkuasa selepas keluarganya menghantar pesanan ringkas (SMS) menyatakan mereka dicari polis.

“Kami berterima kasih kepada polis yang menjejaki anak saya dan kumpulan remaja itu di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini, sebelum menghubungi kami awal pagi semalam.
“Saya seperti bermimpi indah apabila suami membawa pulang anak ke rumah dan Kang menyesali perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya.

“Kang juga gembira melihat baju baru yang dibelikan kami sempena Tahun Baru Cina,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan kebimbangan empat keluarga berkenaan mengenai tindakan anak masing-masing menghilangkan diri pada Khamis lalu bertujuan mencari kerja berikutan tidak berminat ke sekolah.

Sebelum ini, Kang yang gemar melayari Internet dan kerap menghantar SMS kepada rakan sekolahnya pernah memberitahu keluarga mengenai keinginannya berhenti sekolah selepas sesi persekolahan baru bermula dua minggu lalu.

Keluarga Kang mengesyaki ada pihak tidak bertanggungjawab meracuni pemikiran anak dan rakannya supaya lari dari rumah.

APA NAK JADI....

 Macam-macam hal berlaku.Dengan kes rompak.rogol,bunuh,skodeng,rasuah,ugut ,buang bayi,dan yang sekutu dengan nye..Apa nak jadi,apa nak jadi...makin menjadi perbuatan yang tidak bermoral.Kita dah tidak boleh memandang perkara ini perkara baru...dah semakin parah.Jika tindakkan tegas dan pemantauan tidak di lakukan dengan segera.,macam-macam boleh bikin panasssssssssss..

 Didikan agama dah semakin merundum.kita sibuk dengan dunia internet,hiburan,koje,melepak dan banyak perkara yang kita habiskan pada perkara2 ini.Tumpuan kita hanya untuk mencari keserookkan diri sendiri.Entah la....Hukuman tak cukup berat kot?korang rase cam na?

Perkosa anak tiri

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu restoran warga Pakistan yang tergamak merogol anak tiri akhirnya menerima pembalasan apabila dihukum penjara 17 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, semalam atas tiga tuduhan melakukan kesalahan itu, lima tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang berusia 28 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pertuduhan pertama, tertuduh yang berkahwin dengan ibu mangsa iaitu seorang wanita tempatan dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun pada 31 Ogos 2006.
Bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara 16 tahun dan empat sebatan terhadap kesalahan sama yang dilakukannya pada 17 September 2006.

Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki itu dihukum penjara 17 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan yang yang dilakukan pada 21 September 2006.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Thamby Abdullah dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh direman pada 11 September 2009.
Dalam keputusannya, Fathiyah berkata, keterangan saksi pembelaan dalam kes itu tidak mencukupi untuk menentang pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya dengan alasan dia perlu menjaga ibu dan adiknya yang berada di Pakistan.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah KM Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh adalah serius dan membabitkan anak tirinya.

“Perbuatan tertuduh sangat keji terhadap anak tirinya sehingga mangsa menjadi trauma,” katanya.




'Cair' dek kasanova

KUALA LUMPUR: Berbekalkan wajah tampan dan kepetahan berkata-kata, seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dan lima anak licik memperdaya lapan wanita untuk melabur dalam syarikatnya dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat.
Selepas mengikis wang wanita yang dipikatnya, kasanova berusia 45 tahun terbabit menghilangkan diri menyebabkan mangsa kerugian besar apabila tidak mendapat pulangan lumayan yang dijanjikan.
Bagaimanapun, kelicikannya berakhir apabila ditahan di rumahnya di Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 7 Januari lalu, berikutan laporan polis mangsa terbarunya, seorang doktor wanita yang menyerahkan kepadanya wang pelaburan RM300,000.

Menurut sumber, dalam serbuan ke rumah kasanova kira-kira jam 10 malam itu, polis turut menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah, tetapi tidak menemui wang tunai di rumah atau dalam akaun banknya.
Katanya, doktor wanita berusia 27 tahun, mangsa terbaru lelaki terbabit dipercayai ditipu selepas berkenalan November tahun lalu sebelum jatuh cinta.

“Doktor itu bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua tahun lalu dan mereka dipercayai berkenalan ketika kasanova terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selama dua minggu.

“Dalam perkenalan singkat itu, kasanova terbabit menawarkan skim pelaburan menarik kepada doktor berkenaan dengan jaminan pulangan wang tunai berlipat kali ganda. Atas dasar cinta dan percaya, mangsa menyerahkan RM300,000 kepada lelaki itu,” katanya.
Sumber itu berkata, tembelang kasanova terbabit terbongkar selepas dia gagal membayar wang pelaburan yang dijanjikan menyebabkan mangsa mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis menahan kasanova terbabit di rumahnya di Kampung Melayu Subang dan siasatan lanjut mendapati dia disyaki turut terbabit tujuh lagi kes penipuan serta dikehendaki polis Kuala Lumpur dan Selangor.
“Lelaki itu mempunyai dua isteri dan lima anak. Bagaimanapun, dia kini tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sumber berkata, kasanova itu dipercayai memperdaya ramai wanita lain sebelum ini, tetapi mangsa tidak membuat laporan hingga menyukarkan polis membuat siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL), Asisten Superintendan, Suffian Sulaiman mengesahkan penahanan kasanova terbabit hasil kerjasama polis Kuala Lumpur dengan polis Selangor.

“Suspek direman enam hari hingga bermula 8 Januari lalu bagi membantu siasatan. Dia dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit beberapa kes jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Ini termasuk memperdaya seorang doktor wanita yang bertugas di HKL membabitkan kerugian RM300, 000,” katanya ketika dihubungi, semalam.